American Academy of Pediatrics menyarankan bayi diberi susu
eksklusif dalam enam bulan pertama tanpa diberi sebarang jenis supplement
formula, air atau makanan dan terus menyusu badan sepanjang tahun pertama dan
seterusnya. Untuk pengetahuan anda, sepanjang tempoh penyusuan eksklusif,
kemungkinan untuk mengandung adalah agak tipis tetapi ia bergantung kepada
beberapa faktor. Oleh itu, tidak mustahil untuk anda mengandung lagi walaupun
dalam tempoh penyusuan.
Sehubungan itu, apabila disahkan mengandung, kebanyakan ibu
dalam dilema sama ada mahu bercerai susu ataupun terus menyusu. Ini berlaku
akibat konflik yang dialami setelah mendapat nasihat daripada ahli keluarga,
kawan-kawan mahupun doktor. Setakat ini, belum ada bukti yang mengesahkan
kehamilan boleh memudaratkan kandungan. Namun, jika ibu pernah melahirkan bayi
pra matang, hamil kembar ataupun menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan lebih
awal dari tarikh jangkaan, ia patut diberi perhatian kerana oksitosin boleh
merangsang kontraksi dan boleh menyebabkan kelahiran pra matang. Oleh kerana
itulah, ibu biasanya dinasihatkan untuk bercerai susu.
Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa rahim tidak
memahami “mesej” daripada oksitosin untuk memulakan kontraksi sehinggalah
kandungan berusia lebih kurang 24 minggu. Jadi, penyusuan sehingga kandungan
berusia 20 minggu masih dianggap selamat. Jadi, ibu tidak perlu bercerai susu
secara mendadak. Bagi ibu yang bercadang meneruskan penyusuan, dia perlu
mengambil kira beberapa perkara penting: sejarah perubatan, tahap keselesaan
fizikal dan emosi, usia anak dan keperluan penyusuannya.
Dalam pada itu, penyusuan sewaktu mengandung tidak akan
menghalang janin mendapatkan zat makanan yang diperlukannya. Ia juga tidak akan
melemahkan tubuh ibu. Sewaktu mengandung, amat penting untuk anda mengambil
makanan berkhasiat, mendapatkan berat badan yang sesuai dan menikmati rehat
yang secukupnya. Ibu yang memperoleh khasiat yang mencukupi, sepatutnya tidak
akan mempunyai masalah untuk membekalkan khasiat untuk kandungannya dan anak
yang disusukan.
Untuk pengetahuan anda, sewaktu mengandung kebanyakan ibu
akan mengalami masalah dalam penghasilan susu disebabkan oleh perubahan hormon.
Malah, sewaktu trimester kedua, susu itu akan mula berubah menjadi kolostrum.
Kuantiti dan rasa susu akan berubah secara mendadak. Oleh kerana itulah,
kebanyakan bayi akan bercerai susu dengan sendirinya setelah menganggap rasa
susu berbeza daripada biasa.
Perlu diingat! Jika anda menyusukan bayi berumur kurang dari
enam bulan sewaktu mengandung, anda perlu memantau perkembangan dan pertambahan
berat badannya. Bayi yang berumur enam bulan ke atas pula biasanya mereka akan
berubah selera kepada makanan pejal memandangkan bekalan susu anda makin
berkurangan.
No comments:
Post a Comment